Pages


...Selamat Datang Ke Dunia Tanpa Bayangan...Di Mana Imaginasi Boleh Menjadi Realiti...Tinggalkan Komen Dan Jikalau Follow Maklumkan Di Jejak Tanpa Kasut atau Shoutbox Untuk Adqayyum Follow Anda...TQ...

Rabu, 9 November 2011

Dana Baharu Untuk Pelajar Miskin

PTPTN ingin memberi tumpuan kepada pembiayaan yuran pengajian dan
meletakkan tanggungjawab kepada sektor swasta bagi kos sara hidup pelajar. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merancang penubuhan dana baharu hasil sumbangan sektor korporat dan individu untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang kurang berkemampuan.

Penubuhan dana itu adalah sebahagian daripada cadangan PTPTN untuk mengehadkan pembiayaan mereka kepada hanya menampung yuran pengajian dan bukan lagi turut melibatkan kos sara hidup pelajar mulai 2013.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, cadangan penubuhan dana itu bersama pelan pembiayaan terhad sedang diperhalusi dan bakal dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan seterusnya dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

"Untuk menggalakkan sumbangan swasta, PTPTN akan mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi pelepasan cukai kepada sektor korporat atau individu yang membantu," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tanpa mendedahkan saiz dana itu, Ismail berkata, sektor korporat boleh menyalurkan sumbangan melalui tiga kaedah iaitu menyalurkan secara terus kepada pelajar, institusi pengajian tinggi awam dan swasta atau melalui PTPTN yang akan mengagihkannya kepada pelajar yang layak.

Katanya, jika cadangan itu tidak diterima oleh kerajaan, pihaknya hanya meneruskan dasar pinjaman yang sedia ada.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Ahli Lembaga Pengarah PTPTN telah membuat cadangan supaya pinjaman perbelanjaan diberhentikan pada tahun 2013 untuk mengurangkan bebanan perbadanan itu.

Keputusan itu bagaimanapun tidak mendapat sokongan banyak pihak termasuk Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang yakin jika dilaksanakan ia akan menyulitkan kehidupan pelajar miskin.

Mohamad Khaled dilaporkan berkata, pihaknya akan mengkaji dengan teliti cadangan PTPTN itu kelak dengan mengambil kira keperluan pelajar daripada semua golongan.

Sehingga kini, sebanyak 1.87 juta pelajar telah mendapat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan RM41.60 bilion.

Pada tahun depan pula dijangka seramai 2.5 juta lagi pelajar akan memohon pinjaman PTPTN dan sehingga 31 September lalu sebanyak RM2.74 bilion pinjaman telah dibayar balik oleh peminjam berbanding pembayaran balik yang sepatutnya iaitu RM6.2 bilion.

Ismail menjelaskan, PTPTN juga ingin melihat wujudnya budaya menabung dalam kalangan ibu bapa sejak awal bagi membiayai sendiri kos pengajian atau sekurang-kurangnya kos sara hidup anak-anak mereka di universiti.

Beliau berkata, promosi dan galakan akan dipertingkatkan untuk agensi korporat menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar miskin bagi tujuan menampung kos sara hidup mereka.

"Bantuan kewangan seumpama ini sememangnya telah dilaksanakan secara terus kepada institusi pengajian tinggi atau kepada pelajar, namun dengan penglibatan PTPTN diharap ia mampu menjadi budaya agensi korporat," katanya.

Sumber : Kosmo Online

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...