KUALA LUMPUR – Diva industri hiburan tanahair, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy bakal mengambil tindakan saman terhadap pelakon komedi, Johan Raja Lawak, atas beberapa insiden ketika sama-sama menjadi pengacara di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM 24), baru-baru ini.
Difahamkan bahawa Ogy telah berbincang dengan peguam peribadinya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Johan kerana mempersendakan kedua arwah ibubapanya, mempermainkan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW dan memperkecilkan dirinya sebagai pelakon yang lebih senior.
Ogy juga menyifatkan kenyataan-kenyataan Johan itu sebagai kurang ajar, satu penghinaan dan beliau tidak mampu untuk bertolak ansur dengan kebiadapan pasangan pengacaranya malam itu.
“Dia memang kurang ajar. Bukan setakat bakat saya, malah arwah ibu dan bapa saya turut dipersenda sesuka hati. Namun yang paling saya terkilan, dia boleh mempersendakan Tahun Gajah, tahun kelahiran Nabi Muhammad junjungan kita.
“Ini satu penghinaan dan saya tak boleh bertoleransi dengan orang yang biadap seperti itu,” katanya yang dipetik dari laman blog terkenal, Beautifulnara.com, semalam.
Menurut Ogy lagi, beliau tidak dapat memaafkan Johan sekalipun pelawak itu datang meminta maaf darinya dan berharap agar tindakannya itu akan menjadi pengajaran kepada Johan dan artis baru yang lain.
“Saya berpegang pada hak asasi manusia. Tidak kira siapa pun, kalau mereka telah memperlekehkan maruah diri dan ibu bapa saya, saya tidak akan bertolak-ansur.
“Biar dia datang minta maaf sekali pun, saya tidak akan layan. Sebab seseorang harus bangkit memberi pengajaran kepada budak baru seperti dia yang tak tahu apa makna menghormati,” tekad Ogy.
Selain itu, beliau tidak menafikan tentang bakat komedi yang ada pada Johan yang membuat penonton tidak kering gusi dan terhibur malam itu biarpun pelawak terkenal itu lewat hadir tiga jam ketika sesi latihan dijalankan.
“Saya tahu dia berbakat untuk buat lawak tetapi cara dia melampau. Sudahlah masa latihan sebelum majlis berlangsung dia datang lewat.
“Kami diminta datang pukul 3 petang, dia sampai pukul 6 petang. Macam mana tu? Tiga jam saya menunggu, tetapi dia langsung tidak minta maaf pada saya.
“Pembantu peribadi dia yang malu dan berkali-kali minta maaf dari saya. Mana budi bahasa? Tetapi saya sedikit pun tidak bising pada dia,” katanya lagi.
Bagaimanapun, pemilik laman blog hiburan itu yang dikenali sebagai Abang Nara berpendapat bahawa Ogy tidak wajar mengambil tindakan saman terhadap Johan kerana insiden sedemikian dan memadai dengan teguran di media sahaja.
Selain itu, kami juga sependapat dengan Abang Nara memandangkan bahawa Ogy juga dikenali sebagai salah seorang artis yang bermulut ‘laser’ sebelum ini dan kadangkala terlepas cakap sehingga melukakan segelintir teman artis yang lain.
Mengambil iktibar dari sifat memaafkan saudara seagama seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW, apakah salah sekiranya Ogy memaafkan ketelanjuran Johan yang sedang menimba ilmu dari seorang artis yang berpengalaman sepertinya berbanding mengambil tindakan undang-undang yang mungkin akan mengundang permusuhan sesama artis.
1 ulasan:
wahhh! panasss..
Catat Ulasan